E-Learning Adinfo

Putrajaya simbol keangkuhan pemimpin negara

SHAH ALAM 31 Jan. - Keputusan kerajaan membangunkan Putrajaya, di samping memusnahkan keadaan alam semula jadi, merupakan satu lagi usaha berterusan mewujudkan lebih banyak simbol keangkuhan pemimpin negara.

Dekan Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Dr. Mohamad Awang berkata, pendekatan yang diambil itu boleh mengakibatkan berlakunya hukum alam seperti tanah runtuh dan banjir kilat seperti kejadian tanah jerlus yang melibatkan sebuah jambatan yang menghubungkan mahligai Perdana Menteri, baru-baru ini.

Langkah sedemikian juga, kata beliau, menambahkan beban hutang negara yang kini bukan sahaja ditanggung oleh rakyat masa kini, bahkan generasi akan datang.

``Pembangunan yang tidak menitikberatkan keadaan alam semula jadi boleh menyebabkan sesuatu kawasan itu boleh menjadi mangsa kepada hukum alam pada suatu hari nanti.

``Jadi, pendekatan yang dibuat di Putrajaya ini tidak harus dijadikan model kepada rancangan pembukaan kawasan-kawasan baru masa akan datang.

``Kita tidak mahu tragedi Highlands Tower berlaku gara-gara tidak pekanya mereka yang terlibat dalam pembinaan itu terhadap alam semula jadi. Tanda-tanda ke arah itu, telahpun wujud baru-baru ini,'' katanya lagi.

``Tidak ada faedahnya kita dapat membina bangunan melangkaui jadual tetapi hasil pembinaannya tidak berkualiti dan akhirnya memberikan imej yang tidak baik kepada negara pada masa akan datang,'' tambahnya.

Dalam perkembangan yang sama beliau berpendapat Putrajaya salah sebuah bandar yang menjadi simbol kemegahan dan keangkuhan seorang pemimpin yang tamak dan boros dalam membelanjakan hasil mahsul negara.

``Tidak boleh tidak, kewujudan Putrajaya turut memberi kesan negatif terutama dari segi ekonomi terhadap penduduk yang tinggal di sekitar bandar itu,'' katanya.

Sementara itu beliau menyifatkan kewujudan Putrajaya sebagai usaha alternatif yang dilakukan secara halus untuk menghapuskan segala mercu-tanda yang menjadi sejarah dan kebanggaan negara yang dibina sejak sebelum merdeka yang kini terdapat di Kuala Lumpur.

``Setelah semua agensi kerajaan dan kementerian berpindah ke Putrajaya, orang ramai PASti akan berhadapan dengan pelbagai masalah untuk berurusan dengan pejabat-pejabat kerajaan."

``Saya berpendapat kewujudan Putrajaya hanyalah satu usaha tambahan ke arah memperkayakan kroni dengan mewujudkan pelbagai tender bernilai tinggi dan peluang menyapu bersih sumber kekayaan negara."
 

 
PERHIMPUNAN DITAJA SEPENUHNYA 
OLEH IBRAHIM AL-KATAKI (LOMPAT) BHD



© UTUSAN MELOYA (Mamak) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: online@utusan.com.my