E-Learning Adinfo

Pelihara kesucian masjid -- Jangan bawa perbalahan politik ke tempat beribadat - Seri Paduka

KUALA LUMPUR 7 Jan. - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini bertitah, perbezaan fahaman politik di kalangan umat Islam negara ini tidak harus dibawa hingga ke institusi masjid dan surau.

Titah baginda, umat Islam harus menggunakan masjid dan surau untuk tujuan mendekatkkan diri kepada Allah s.w.t dan bukan menjadikannya sebagai tempat perbalahan politik.

''Kesucian tempat beribadat orang Islam melambangkan ketinggian martabat agama Islam sendiri dan umat-umatnya, oleh itu janganlah ia dicemari oleh unsur-unsur yang boleh melemahkan martabat itu,'' titah baginda dalam perutusan Aidilfitri 1420H, di sini.

Sambil mengucapkan selamat Hari Raya kepada semua umat Islam, baginda bertitah Aidilfitri yang mulia adalah hari bagi seluruh umat Islam bermaaf-maafan antara satu sama lain serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim.

Ini adalah kerana Islam menuntut agar umatnya sentiasa berbaik-baik, bertolak ansur dan tolong menolong sesama manusia dan rela bermaaf-maafan dan melupakan segala sengketa dan perselisihan faham yang telah berlaku.

Yang di-Pertuan Agong merasa gembira kerana langkah-langkah yang dilaksanakan kerajaan untuk mengatasi masalah ekonomi menunjukkan kejayaan dan masyarakat Islam di negara ini dapat menyambut Hari Raya dalam keadaan ekonomi hampir pulih sepenuhnya.

Titah baginda pemulihan ekonomi itu penting kerana ia memberi erti bahawa rakyat negara ini akan tetap menikmati pembangunan negara, meningkatkan kualiti hidup serta menikmati kemudahan-kemudahan lain yang disediakan oleh kerajaan dan swasta.

Baginda berharap di sebalik kegembiraan menyambut hari raya golongan yang kurang upaya yang memerlukan bantuan tidak dilupakan.

"Keinsafan diri perlu wujud dan konsep membayar zakat yang diwajibkan adalah untuk membantu golongan ini," titah baginda.

Baginda turut mengucap syukur kerana tahun ini rakyat Malaysia bersama-sama berpeluang menyambut hari raya yang pertama di alaf baru dalam suasana aman dan tenteram. - Bernama


© UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: online@utusan.com.my